Saturday, April 24, 2010

Dugaan itu Satu Rahmat

Pagi ini saya menerima kabaran dari seorang sahabat bahawa adik kepada sahabat kami telah menerima satu kemalangan dan sekarang berada di Unit Rawatan Rapi. Saya berasa risau dengan sahabat saya . Ini kerana  peperiksaan akhir belum lagi selesai, dan pastilah kejadian sebegini mengganggu tumpuannya untuk menempuh peperiksaan akan datang. Saya juga berasa sedih kerana pastinya dia  serta keluarganya juga berasa amat sedih. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Allah sedang mengujinya.  Dia adalah antara orang yang banyak memberikan saya nasihat dan perkongsian ilmu yang berguna. Dan saya lihat dia sememangnya seorang yang tabah dan saya berharap Allah mengurniaankannya kekuatan untuk menghadapi ujian ini.

“Sungguh ajaib urusan orang yang beriman itu, sesunggunya segala urusan mereka adalah baik, dan tiada yang memperolehi keadaan ini melainkan yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya” Hadith riwayat Muslim.

Ya, saya tahu bercakap memang senang tapi yang menenggungnya sakit,justeru itu sabar mendapat kedudukan yang sangat istimewa disisi Allah. Saya tidak pernah mengalami situasi yang sama. Hakikatnya saya bukanlah orang yang layak untuk berbicara tentang perkara ini namun saya kira ini sekadar untuk dijadikan peringatan pada diri.Justeru, saya sering berdoa agar tidak diuji dengan dugaan yang tak mampu untuk saya tanggungi.Namun, perancangan Allah siapa tahu. Jika saya ditimpa kesusahan, biasanya saya akan lebih mendekatkan diri padaNYA kerana saya percaya dan yakin bahawa DIA maha mendengar dan mengetahui masalah saya. Jadi saya bersyukur dengan dugaan yang hadir menyinggah dalam selirat kehidupan saya kerana ia membuatkan saya lebih mengingatiNYA. Yakin segala yang terjadi punya hikmah yang tidak saya ketahui. Merapatkan diri pada Tuhan, Inilah kekuatan utama untuk pendayung kehidupan penuh pancaroba. Kerna, walau tersesat di tengah lautan tak berpenghujung, tanpa manusia di sisi, Dia tetap ada memerhati.

 “Apakah manusia itu mengira, mereka akan dibiarkan berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?” Surah Al-Ankabut ayat 2.

Semoga Allah luluskan mereka dalam ujian ini, dan menguatkan mereka untuk terus istiqomah menjadi hambaNYA. Semoga, apa yang menimpa mereka, menjadi pengajaran dan peringatan buat kita. Apa-apa sahaja bencana yang menimpa saat kita menjadi ‘hamba’, itu perlu dipandang sebagai rahmat sebenarnya. Tiada yang rugi bila pengorbanan itu dikira oleh Allah SWT. Tiada kekurangan apabila sesuatu itu diambil oleh Allah SWT.

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang terbaik amalannya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);”
Surah Al-Mulk ayat 2.

Suka untuk saya berkongsi kata- kata ini:
Terimalah ujian sebagaimana kamu menerima nikmat. Bukankah keduanya dari Allah, adakah kamu fikir bahawa Allah tidak mengetahui pedihnya deritamu? DIA maha mengetahui..masakan DIA menjadikan tiap-tiap sesuatu dengan sia-sia? TIDAK!

No comments:

Post a Comment