Thursday, April 8, 2010

Prof. Philosophy



Semester kedua memerlukan  pelajar BSDP(K) fizik untuk mengambil subjek Falsafah Sains bagi memenuhi jam kredit kami. Kelas ini diadakan pada hari Isnin jam 8 PM  (Prof. Dr. Mat Rofa Ismail,nama pensyarah kami). Memandangkan kelas kami pada hari itu benar – benar padat bermula jam 8 AM sehinggalah jam 7 PM memang agak berat bagi saya untuk meneruskan lagi kelas Falsafah ini sehingga jam 10 PM. Itulah yang terlintas difikiran pada mulanya. 

Namun, nyata jangkaan saya meleset sama sekali. Inilah kali pertama sepanjang berada dikampus, saya merasa benar – benar teruja untuk menghadirkan diri ke kelas apatah lagi untuk skip kelas  jauh sekali. Saya merasa benar – benar beruntung dapat belajar bersama beliau. 

Fokusnya berkaitan dengan ilmu kosmos dan dikaitkan pula dengan metafizik. Gaya penyampaiannya yang berisi membuatkan kelas tidak membosankan sekaligus melenyapkan kelesuan saya. Beliau dengan gaya yang sederhana tetap menggamit perhatian saya. Tutur katanya lembut berhikmah dan mudah dihayati, maka saya mengerti mengapa beliau dikagumi dan diingati dikalangan para pelajar. 

Saya memang menyenangi beliau. Seakan ada suatu daya tarikan padanya. Kedut tua wajahnya terpancar  suatu sinar yang sukar untuk saya gambarkan. Tetapi hanya dapat saya katakan saya merasa tenang bila melihat riak wajahnya. Isi kuliahnya memang memberi  kesan pada saya. Penyampaiannya nyata hidup dan memberi makna. 

Tidak saya sedari rupanya alam ini begitu indah, unik serta menarik untuk diterokai. Penyampaiannya begitu dekat dihati. Saya rasa gembira Allah ,menghadiahkan saya beliau dalam selirat kehidupan saya. Alhamdullilah semoga Allah merahmatinya dan keluarganya..

No comments:

Post a Comment