Monday, April 12, 2010

PILIHLAH AKU UNTUK IKHLAS

    Betapa sekali - sekala melakukan kebaikan terasa hebat bukan kepalang. Tanpa sedar riak bertandang. Terasa ingin dipamerkan segala agar dipuji dan disanjung dengan kata- kata dan anugerah manusia. Biar terserlah siapa aku,bisik ego diri. Padahal nilai amal yang sebegitu tidak ada nilai walau sedebu. Apatah lagi Allah pasti tidak menerima segala sekutu.
    Apabila riak itu tertipu dengan kehadiran manusia, sum’ah pula terpedaya tanpa kehadiran sesiapa. Walau tanpa sesiapa dimata tetapi dihati masih mengharapkan amal yang kononnya disembunyikan itu diketahui juga oleh manusia. Ah, hebatnya dia! Begitu kata sanjung yang dijunjung. Pada ketika itu hati lantas berbunga. Aduh! Sum’ah itu lebih dasyat tipuannya daripada riak.
    Apabila terlepas dari keduanya, menanti pula musuh ketiga yang tidak kurang hebatnya..ujub! Takjub dan berasa hairan terhadap diri sendiri. Kali ini bukan pujian manusia yang terang dan tersembunyi yang diharapkan tetapi pujian terhadap diri sendiri. Betulkah ini aku? Alangkah hebatnya. Terasa diri bagaikan wali apabila amalnya mengatasi orang lain. Aku bukan manusia biasa. Aku tinggi mengatasi semua. Ujub hakikatnya lebih sukar dikesan dan dirawat berbanding riak dan sum’ah.
    Bukan mudah untuk ikhlas. Semakin dicari terasa semakin misteri. Benar, ikhlas itu rahsia dalam rahsia Allah. Melakukan sesuatu kebaikan bukan kerana Allah.. itu tidak ikhlas.. meninggalkan sesuatu bukan kerana Allah juga itu tidak ikhlas. Kekadang begitu ikhlas hati ketika memulakan amal, tetapi sampai dipertengahan, kecundang oleh sesuatu selain dariNya. Ya Allah,aku benar-benar pasrah, pejuangan untuk ikhlas terlalu seru dan keliru. Bantulah aku, memahami dan menangani rahsia ini.
    Beribadatlah sehingga terasa penat untuk melakukan maksiat. Begitu pesan Hukama yang menjadi kompas hati. Buatlah apa saja kebaikan sejak sebelum terbit fajar hingga terbenam mentari. Ikhlas atau tidak usah diperkirakan lagi. Jangan mengukur kesempurnaan digaris permulaan amal . Beramallah walau hati diintai riak dan sum’ah. Pedulikan ujub yang menanti masa untuk menyusup.
    Teringat apa yang dipesan oleh Imam Ghazali ketika muridnya bertanya , “ Tuan bagaimana keadaanku ketika mulutku berzikir tetapi hatiku masih lalai?”  lalu imam yang arif dalam soal keajaiban hati itu berkata.Teruskan berzikir walau hatimu lalai kerana sekurang-kurangnya lidahmu akan terselamat dari berkata-kata kotor dan sia-sia. Jika dirimu masih melakukan kejahatan ingatlah itu bukan alasan untuk tidak dan berhenti untuk melakukan kebaikan. Bahkan iringilah perbuatan dosa dengan kebaikan kerana kebaikan itu lambat-laun akan menghapuskan kejahatan.
    Aku hanya insan kerdil di lautan rahsia ikhlas yang sangat dalam. Yang terjangkau olehku hanyalah sebutir percikan ombak di permukaannya. Namun, aku juga hamba Allah yang berhak untuk melalui jalan menuju-Nya. Ketika aku keliru,tunjukkanlah. Ketika aku lemah, perkukuhkanlah. Ketika  alpa, ingatkanlah. Hanya dikau Allah yang berhak memilih sesiapa untuk dianugerahi rahsia ikhlas itu. Padaku  hanya tadbir..padaMu segala takdir. Bantulah aku meluruskan tadbirku menjurus takdirMU. Pilihlah aku untuk ikhlas..Amin!
[dipetik: majalah Anis]

7.14 AM
dingin pagi~
menghitung hari final


No comments:

Post a Comment